Jom baca kisah pengajaran. Ini baru hukuman dunia...belum di akhirat lagi...BERTAUBAT selagi masih sempat
Sketsa kehidupan : CUKUPLAH SEKALI, TIDAK AKAN KU ULANGI LAGI !
BismillhirRahmaanirRahiim.
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Sahabat-sahabatku Fillah yang dikasihi Allah SWT,
Kali ini kita kongsikan kisah benar yang dilalui oleh seorang hamba
Allah, berlaku di dalam masyarakat kita namun teramat jarang bagi kita
untuk mendengar kisah-kisah mereka yang hidupnya terkurung di dalam
tirai besi…yakni penjara…
Jadikanlah apa yang dipaparkan ini
sebagai renungan dan perisai diri agar diri tidak mudah hanyut dengan
kehendak hati dan bersyukurlah dengan nikmat Islam dan Iman yang telah
Allah SWT anugerahkan di dalam hati sanubari kita dan peliharalah ia
dengan sebaik-baiknya, InsyaAllah aamiin.
~ Sudah hampir
lapan tahun aku menjadi penghuni di kamar sempit ini. Selama itulah aku
tidak berpeluang mengucup tangan ibu dan ayah di pagi 1 Syawal.
Sementara anak-anak dan isteri terlepas momen-momen Indah saat kami
saling memohon kemaafan.
Namun aku tidak mampu memutar kembali
waktu. Andai boleh kuubah semula, pasti tidak akan kubiarkan ia berlaku.
Aku dimasukkan ke sini atas sabit kesalahan mengedar ganja di bawah
seksyen 39A (2), Akta dadah Berbahaya, dan dikenakan hukuman lapan tahun
penjara serta 10 kali sebatan.
Aku tidak pernah menyalahkan
takdir. Semua itu kerana salah sendiri. Aku mula terlibat dengan barang
terlarang itu sejak tahun 1995. Ketika itu aku hanya gunakan untuk
keperluan sendiri.
Disebabkan telah lama terlibat dengan
penagihan ganja aku kenal kawan-kawan yang menjualnya secara pukal.
Kerana itu aku tidak menolak apabila seorang kawan meminta agar aku
mendapatkan bekalan untuknya. Atas dasar “ingin menolong”, aku tunaikan
janji seperti yang diminta. Malangnya aku terperangkap. Apabila sampai
di tempat yang dijanjikan, tiba-tiba aku diserbu sepasukan polis yang
sudah bersedia menanti kedatanganku.
Aku tergamam. Tidak tahu
apa yang harus dilakukan kecuali mengangkat tangan menyerah diri seperti
apa yang diarahkan. Saat itu aku dihantui perasaan yag begitu
menakutkan. Wajah anak-anak dan isteri mula terbayang silih berganti.
Bagaimana keadaan mereka apabila aku berada di dalam penjara nanti ?
Selama ini, walaupun aku seorang penagih ganja, aku tidak pernah
mengabaikan tanggungjwab terhadap mereka. Aku sentiasa memastikan segala
keperluan, makan pakai disediakan secukupnya.
Setelah puas
turun naik mahkamah, aku dijatuhkan hukuman. Sebaik saja mendengar
hukuman, aku terkulai….Kemudian aku dibawa keluar dalam keadaan yang
tidak bermaya. Dari jauh aku melihat ibu, ayah, isteri dan anak-anakku,
memandangku dengan penuh rasa hiba. Dan aku membalas pandangan mereka
dengan seribu sesalan.
Setelah itu, sahlah aku menjadi tetamu
baru yang menghuni kamar yang serba sempit berdinding batu itu.
Fikiranku menerawang. Perasaan Insaf dan sebak mula menghantui diri.
Kemudian kurenungi diri…Dalam sinar kamar yang suram, tiba-tiba terdetik
satu perasaan halus bahawa Tuhan masih menyayangiku.
Sejak
ditangkap dan ditahan reman, aku mula menunaikan kembali solat yang
telah lama aku tinggalkan. Aku mula mendekati agama yang pernah aku
abaikan. Airmataku, tiba-tiba menitis setiap kali mengingati kejahilan
diri.
Selama ini aku hanya bersolat sekadar melepaskan batuk
di tangga. Itupun hanya solat maghrib ketika berada di rumah, sekadar
mahu menunjukkan kepada isteri dan anak-anak bahawa aku ini menunaikan
tuntutan agama.
NYAWA BAGAIKAN TERBANG.
Saat menanti
hukuman rotan bagaikan perjalalan yang terlalu panjang. Setiap detik
dilalui dengan penuh debaran. Macam-macam cerita yang aku dengar
daripada teman-teman yang pernah mengalamiya. Setiap kali mereka
bercerita,darahku bagaikan tersirap. Sehinggalah tiba saat yang
dinanti….
Pagi itu aku dikejutkan oleh berita yang selama ini
menghantuiku. Dalam keadaan longlai aku dibawa ke tempat hukuman. Setiap
kali rotan diayun, terasa bagaikan nyawaku terbang dari badan. Hilang
seluruh kudrat lelaki…….Hanya teriakan menahan sakit bergema di ruang
hukuman sehingga selesai sebatan terakhir.
Darah memercik
keluar. Terasa kulit tersiat hancur kesan libasan.Usai perlaksanaan
hukuman, ku terpaksa dipapah dan diberikan rawatan.
Selama dua
minggu aku terpaksa menahan sakit yang tidak terperi. Azabnya hanya
Tuhan yang tahu. Bukan saja sukar bergerak, untuk melakukan rutin harian
pun susah. Tidur pun terpaksa mengiring dan meniarap sehingga luka
pulih sepenuhnya sebulan selepas itu.
Hukuman itu bukan saja
membuatku insaf tetapi benar-benar bertaubat tidak akan mengulanginya
lagi. Dalam pada masa yang sama, aku bersyukur kerana diberi peluang
kedua untuk merubah diri. Aku pasrah dan redha. Harapanku apa yang aku
lalui ini dapat meringankan hukuman di hadapan Allah SWT kelak.
Dalam sukar, aku gagahkan juga untuk menunaikan suruhan Illahi.
Teman-teman senasib, ustaz dan kakitangan penjara banyak membantu
menguatkan semangatku agar melawan kesakitanku itu serta lebih
bersemangat untuk mencari keredhaan-Nya.
Lantaran itu aku
banyak mempelajari agama. Aku menggantikan solat yang pernah aku
tinggalkan, menunaikan solat-solat sunat seperti solat sunat tahajjud,
solat dhuha dan pelbagai lagi. Aku juga kerap berpuasa ganti, puasa
sunat hari Isnin dan Khamis.
Terngiang-ngiang di telingaku,
kata-kata mak….kalau masuk ke sini, aku pun masih meninggalkan solat.
Dia sudah tidak mampu berbuat apa lagi untukku. Aku bersyukur kerana
mempunyai keluarga yang masih menyayangi dan isteri yang setia.
Malah mereka sering melawatkau di sini, memberikan galakan agar aku
kuat semangat dan tidak mudah berputus asa untuk terus mendekati Allah
dan agama-Nya. Semakin lama hatiku semakin tenang. Mungkin apa yang aku
alami ini berkat doa emak yang mahu melihat anaknya berubah.
Aapabila mereka datang menjengukku, aku sering menasihati anak lelaki
sulung agar tidak mengulangi perkara yang pernah aku lakukan. Aku
bersyukur, hasil didikan isteri, anak kami berjaya melanjutkan pelajaran
ke menara gading.
kata orang masa boleh merubah seseorang
menjadi apa yang dia inginkan….Selama lapan tahun, ayat-ayat Al-Quran
menjadi mainan lidah yang amat mengasyikkan. Aku bukan saja membaca,
tetapi mendalami dan memahami maksudnya.
Antara surah
kegemaranku, seperti surah Al-baqarah, surah Ali-Imran dan surah yasin,
yang penuh dengan peringatan dan pengajaran. Bagiku yang penting bukan
sekadar bacaan yang betul, tetapi memahami intipati yang terdapat di
dalamnya. Sementara lafaz maksud Bismillahirrahmaanirrahiim, ayat Qursi
dan juga surah tiga Qul itu juga tidak kurang hebatnya. Itu semua
antara malan harianku.
Begitu juga dengan doa. Aku lebih
selesa berdoa dalam bahasa melayu kerana aku lebih memahami dan dapat
menghayati dengan lebih mendalam. Di saat itu aku merasakan begitu dekat
dengan-Nya. Aku masih ingat betapa gembiranya isteri dan kedua-dua
orang tuaku apabila buat pertama kali aku meminta mereka membawakan
tafsir Al-Quran.
Mereka bukan saja membawa apa yang aku minta
tetapi juga membawa bahan bacaan tambahan. Selain itu, di sini aku tidak
ketandusan bahan-bahan bacaan agama walaupun tidak sebanyak di luar.
Teman-teman dan ustaz tidak pernah lokek untuk berkongsi ilmu. Dalam
masa yang sama aku banyak muhasabah diri….memikirkan kisah-kisah silam
yang membuahkan penyesalan yang tidak berkesudahan.
Kesan
sebatan bagaikan masih tersa sehingga kini. Bunyi libasan rotan yang
meratah daging, jelas terdengar. Percikan darah bagaikan masih mengalir.
Hanya Tuhan yang tahu betapa pedih dan sakitnya.
Semua itu
memberi kesan yang cukup mendalam.Tidak dapat dilafazkan dengan
kata-kata. Tidak ada ayat yang paling sesuai untuk disusun melainkan
hanya mereka yang mengalaminya sahaja yang memahami.
Andai
dibebaskan kelak, aku ingin membina hidup baru bersama keluarga. Peluang
kedua yang diberikan oleh Allah SWT inginku gunakan sepenuhnya ke jalan
yang diredhai Illahi. Aku ingin tebus kesalahanku sebagai anak, suami
dan ayah yang pernah kuabaikan
Sahabat-sahabatku Fillah,
Begitulah kisahnya…mari sama-sama kita mengambil ikhtibar dan
pengajaran darinya. Keindahan Islam bukan hanya sekadar lafaz dan
perbuatan tetapi merangkumi seluruh aspek hidup. Ia perlu dipelajari,
dihayati dan dinikmati…untuk mendapatkan manisnya Iman dan untuk
merasakan ketenangan dan kebahagiaan bila memiliki Cinta Illahi
Wallahu’alam.