Inilah Sebuah Takdir..
Seorang pemuda telah berkenan pada seorang gadis di twitter. Bertutup aurat dengan baik. Tak banyak bicara. Tak banyak songeh.
Dipendekkan cerita mereka pun disatukan.
Pada malam pernikahan, pengantin baru pun berbicara.
Isteri: "Boleh saya terus terang?"
Suami: "Ya, dah suami isteri kan. Apa nak malu-malu."
Isteri: "Sebenarnya, saya dah tiada dara. Kesilapan saya di zaman
remaja. Saya jahil dulu. Saya dah cuba berterus-terang sebelum nikah.
Tapi, saya dah jatuh cinta dengan awak. Maafkan saya."
Suami terdiam. Nampak seakan terkejut.
Suami: "Saya..saya lepaskan awak dengan talak satu. Jangan risau. Saya
takkan minta awak bayar semua kos ganti rugi belanja nikah. Saya takkan
sentuh awak. Awak boleh duduk di rumah ini kalau awak nak. Saya akan
pindah."
"Takpe. Hantar saja saya ke rumah mama saya. Saya reda. Saya... tak layak.. berada di sini..."
Si gadis menitiskan air mata dalam tutur yang seakan terlekat di
kerongkong. Memang dia dah agak. Dia dah rasa akan jadi begini. Pasrah
segalanya.
Pemuda tidak mampu menerima hakikat dia bernikah
dengan bekas penzina. Pada teorinya, pada dalilnya, penzina adalah
pasangan cocoknya penzina juga! Dirinya bukan penzina!
**
Waktu berlalu. Masa berdetik. Setahun kemudian...
Pemuda berada di wad. Sudah 5 bulan berlalu sejak beliau menjalani
pemindahan organ. Hatinya yang rosak telah digantikan dengan bahagian
lobul hati penderma. Sejak 5 bulan itulah, beliau berulang-alik stay di
hospital untuk sesi terapi dan rawatan ulangan.
Pemuda menonton
tazkirah di I-Padnya sambil menanti kehadiran doktor. Seorang tuan guru
popular berceramah seputar tajuk 'Zalim',
"Pada Allah, hamba
itu kesemuanya hina melainkan hamba yang bertaqwa. Masakan seorang hamba
dengan angkuh memandang hina hamba yang lain sedangkan dirinya juga
seorang hamba hina. Kalau bukan kerana Allah yang memberikan akal
pemikiran sehingga mampu berpakaian, mengurus diri, makan dengan teratur
dan belajar, sudah pasti hamba itu sama taraf dengan binatang ternakan
saja!"
Tertusuk seketika kalbu pemuda. Tuan guru menyambung lagi,
"Misalnya, sering kita baca di dada akhbar kes-kes perceraian. Pada
hemah saya, puncanya lebih kepada suami. Kerana sayang seorang perempuan
bernama isteri adalah melebihi sayang seorang suami kepadanya. Sifat
perempuan adalah menyayangi.
Keras seperti batu konkrit macam
mana pun, mampu dilembutkan dengan kasih sayang suami. Sebab itu sering
kita baca juga, walaupun suami penagih dadah sebagai contoh, masih si
isteri setia menanti perubahan suami. Masih sayang pada suami tidak
berganjak walaupun pada pemikiran kita tindakan itu gila. Pada wanita,
bila ada lelaki ambilnya sebagai isteri itu merupakan suatu rahmat,
syukur yang teramat sangat pada Allah. Dia tak jadi anak dara tua. Dia
ada tempat bergantung. Isteri cuma mampu bersuami satu."
"Jangan zalim. Selagi seseorang itu masih berTuhan, selagi itu ada
harapan. Masa silam bukan hukuman. Masa silam adalah pengajaran. Jangan
diulang di masa depan. Demi Allah, kita tidak kuat. Kerana Allah, kita
harus kuat.
Bila Allah sudah pasangkan 'lampu' hidayah dalam hati seseorang, jangan pula kita pergi padamkannya.
Disebut dalam hadis Qudsi,
'Aku (Allah) sangat murka ke atas orang yang melakukan kezaliman
terhadap seorang yang tidak punya pembela selain Aku.' (HR al-Thabrani)
Allah yang membukakan pintu taubat dan pintu Syurga. Mana hak kita untuk menutupnya?"
Tup !
Ditutup terus ceramah itu oleh si pemuda. Malas nak disambung dengarnya.
Doktor yang merawat masuk ke biliknya.
Doktor: "Ada khabar dukacita yang saya ingin sampaikan."
Pemuda: "Apa ya?"
Doktor: "Penderma hati mengalami komplikasi teruk. Tiga bulan pertama,
beliau mengalami kecederaan organ dan muntah darah. Badannya yang makin
lemah serta beliau sendiri mengalami kemurungan..akhirnya minggu lepas,
beliau meninggal dunia."
Pemuda: "Innalillahi wainna ilaihi raaji'un."
Doktor: "Ada sesuatu beliau tinggalkan untuk kamu."
Doktor menyerahkan sesuatu pada pemuda itu. Sepucuk surat dan sepasang baju.
Perlahan-lahan dibacanya,
"Awak, ingat tak baju ni? Ini adalah baju nikah awak. Awak tahu tak,
baju ni saya jahitkan sendiri untuk awak. Seminggu saya belajar jahit
sampai luka-luka jari. Tak pandai sangat. Tapi, alhamdulillah siap juga.
Sangat gembira bila awak pakai di hari pernikahan kita.
Awak,
mungkin kasih saya ni, awak tak dapat terima disebabkan kisah silam
saya. Namun, janganlah awak tolak hati saya yang berada dalam diri awak
sekarang. Ini hadiah saya untuk awak sebab sudi mengambil saya sebagai
isteri.
Walaupun tidak sampai 24 jam, awak tetap suami dunia dan akhirat.
Maaf bila saya tak sempurna."
Pemuda kehilangan kata-kata.
Tumpah seribu air mata
No comments:
Post a Comment