10 Petanda Yang Menunjukkan Dia Adalah Jodoh Kita
1) Bersahaja.
Kekasih anda itu bersikap bersahaja dan tidak berlakon. Cuba perhatikan
cara dia berpakaian, cara percakapan, cara ketawa serta cara makan dan
minum. Adakah ia spontan dan tidak dikawal ataupun kelihatan pelik.
Kalau ia nampak kurang selesa dengan gayanya, sah dia sedang berlakon.
Kadang-kadang, kita dapat mengesan yang dia sedang berlakon. Tetapi,
apabila dia tampil bersahaja dan tidak dibuat-buat, maka dia adalah
calon hidup kita yang sesuai. Jika tidak, dia mungkin bukan jodoh kita.
2) Senang bersama.
Walaupun anda selalu bersamanya, tidak ada sedikit pun perasaan bosan,
jemu ataupun tertekan pada diri kita. Semakin hari semakin sayang
kepadanya. Kita sentiasa tenang, gembira dan dia menjadi pengubat
kedukaan kita.
Dia juga merasainya. Rasa senang sekali apabila
bersama. Apabila berjauhan, terasa sedikit tekanan dan rasa ingin
berjumpa dengannya. Tidak kira siang ataupun malam, ketiadaannya terasa
sedikit kehilangan.
3)Terima kita seadanya.
Apapun kisah
silam yang pernah kita lakukan, dia tidak ambil peduli. Mungkin dia tahu
perpisahan dengan bekas kekasihnya sebelum ini kita yang mulakan. Dia
juga tidak mengambil kisah siapa kita sebelum ini. Yang penting, siapa
kita sekarang.
Biarpun dia tahu yang kita pernah mempunyai
kekasih sebelumnya, dia tidak ambil hati langsung. Yang dia tahu, kita
adalah miliknya kini. Dia juga sedia berkongsi kisah silamnya. Tidak
perlu menyimpan rahsia apabila dia sudah bersedia menjadi pasangan hidup
kita.
4) Sentiasa jujur.
Dia tidak kisah apa yang kita
lakukan asalkan tidak menyalahi hukum hakam agama. Sikap jujur yang
dipamerkan menarik hati kita. Kejujuran bukan perkara yang boleh
dilakonkan. Kita dapat mengesyaki sesuatu apabila dia menipu kita.
Selagi kejujuran bertakhta di hatinya, kebahagiaan menjadi milik kita.
Apabila berjauhan, kejujuran menjadi faktor paling penting bagi suatu
hubungan. Apabila dia tidak jujur, sukar baginya mengelak daripada
berlaku curang kepada kita.
Apabila dia berlaku jujur maka
semakin hangatlah hubungan cinta itu. Kejujuran yang disulami dengan
kesetiaan membuahkan percintaan yang sejati, jadi dialah sebaik-baik
pilihan.
5) Percaya Mempercayai.
Setiap orang mempunyai
rahsia tersendiri. Adakalanya rahsia ini perlu dikongsi supaya dapat
mengurangkan beban yang ditanggung. Apabila kita mempunyai rahsia dan
ingin memberitahu kekasih, adakah rahsia kita selamat di tangannya?
Bagi mereka yang berjodoh, sifat saling percaya mempercayai antara satu
sama lain timbul dari dalam hati nurani mereka. Mereka rasa selamat
apabila memberitahu rahsia-rahsia kepada kekasihnya berbanding
rakan-rakan yang lain.
Satu lagi, kita tidak berahsia apa pun
kepadanya dan kita pasti rahsia kita selamat. Bukti cinta sejati adalah
melalui kepercayaan dan kejujuran. Bahagialah individu yang memperoleh
kedua-duanya.
6) Senang bekerjasama.
Bagi kita yang
inginkan hubungan cinta berjaya dan kekal dalam jangka masa yang
panjang, kita dan dia perlu saling bekerjasama melalui hidup ini. Kita
dan kekasih perlu memberi kerjasama melakukan suatu perkara sama ada
perkara remeh ataupun sukar.
Segala kerja yang dilakukan
perlulah ikhlas bagi membantu pasangan dan meringankan tugas
masing-masing. Perkara paling penting, kita dan dia dapat melalui semua
ini dengan melakukannya bersama-sama. Kita dan dia juga dapat melakukan
semuanya tanpa memerlukan orang lain dan kita senang melakukannya
bersama.
Ini penting kerana ia mempengaruhi kehidupan kita pada
masa hadapan. Jika tiada kerjasama, sukar bagi kita hidup bersamanya.
Ini kerana, kita yang memikul beban tanggungjawab seratus peratus.
Bukankah ini menyusahkan?
7) Memahami diri kita.
Bagi
pasangan yang berjodoh, dia mestilah memahami diri pasangannya. Semasa
kita sakit dia bawa ke klinik. Semasa kita berduka, dia menjadi
penghibur. Apabila kita mengalami kesusahan, dia menjadi pembantu. Di
kala kita sedang berleter, dia menjadi pendengar.
Dia selalu
bersama kita dalam sebarang situasi. Tidak kira kita sedang gembira
ataupun berduka, dia sentiasa ada untuk kita. Dia juga bersedia
mengalami pasang surut dalam percintaan. Kata orang, “lidah sendiri
lagikan tergigit”, inikan pula suami isteri’.
Pepatah ini juga
sesuai bagi pasangan kekasih. Apabila dia sentiasa bersama kita melalui
hidup ini di kala suka dan duka, di saat senang dan susah, dialah calon
yang sesuai menjadi pasangan hidup kita.
Tampilkan kelemahan.
Tiada siapa yang sempurna di dunia ini. Tipulah jika ada orang yang
mengaku dia insan yang sempurna daripada segala sudut. Pasti di kalangan
kita memiliki kelemahan dan keburukan tertentu. Bagi dia yang bersedia
menjadi teman hidup kita, dia tidak terlalu menyimpan rahsia
kelemahannya dan bersedia memberitahu kita.
Sudah tentu bukan
senang untuk memberitahu dan mengakui kelemahan di hadapan kekasihnya.
Malah, dia tidak segan mempamerkan keburukannya kepada kita. Misalnya,
apabila dia bangun tidur ataupun sakit dan tidak mandi dua hari, dia
tidak menghalang kita daripada melawatnya.
Apabila kita dan dia saling menerima kelemahan dan sifat buruk masing-masing, memang ditakdirkan kita hidup bersamanya.
9) Kata hati.
Dengarlah kata hati. Kadangkala, manusia dikurniakan Allah deria keenam
yang dapat mengetahui dan memahami perasaan pasangannya. Dengan deria
batin ini juga kita dapat saling tahu perasaan masing-masing.
Kita dan dia juga dapat membaca fikiran antara satu sama lain dan dapat
menduga reaksi dan tindakbalas pada situasi tertentu. Apabila kita yakin
dengan pilihan hidup kita, tanyalah sekali lagi. Adakah dia ditakdirkan
untuk kita?
Dengarlah kata hati dan buatlah pilihan. Serahlah segalanya pada ketentuan Allah Taala.
10) Beristikharah dan tawakkal.
Jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Allah SWT. Manusia hanya
perancang di pentas dunia ini dan skripnya ditulis oleh yang maha esa.
Adakalanya, dalam memainkan peranan sebagai pelakon, diberi petunjuk
melalui mimpi atau gerak hati.
Mimpi memang mainan tidur,
tetapi apabila kita melakukan sembahyang Istikharah dan memohon supaya
Allah memberikan petunjuk, insya-Allah dengan izinnya kita mendapat
petunjukNya. Jika dia pilihan kita, buatlah keputusan sebaiknya.
Jika tidak, tolaklah dia dengan baik. Semua yang kita lakukan ini
adalah bagi mendapatkan kebahagiaan hidup di dunia. Setelah semuanya
diusahakan, berserahlah kepadaNya dan terus berdoa. Ingatlah, nikmat di
dunia ini hanya sementara. Nikmat di akhirat adalah kekal selamanya.
Ingat wahai kaum Adam, sebagaimana kamu harapkan pasangan kamu seorang
solehah, begitu jugalah mereka (wanita) mengharapkan lelaki soleh yang
memimpin mereka ke jalan yang diredhai. Untuk kamu mendapatkan seorang
solehah, haruslah kamu menjadi yang soleh, agar segala usaha ke arah itu
mampu menghasilkan solehah yang didambakan selama ini.
Untuk
memiliki yang terbaik, haruslah memperlengkapkan diri dengan kebaikan
dan istiqamah yang berterusan. Sebagaimana perumpamaan antara penjual
minyak wangi dan si tukang besi. Jika berteman dengan penjual minyak
wangi, maka sedikit sebanyak kita pasti akan dapat mencium bau wanginya.
Sedangkan berteman dengan seorang tukang besi, lambat laun percikan
apinya akan mengenai tubuh kita dan juga bau busuknya."
No comments:
Post a Comment