Pahala Terakhir Seorang Isteri

Peristiwa yang menimpa diri saya kira-kira dua tahun yang lalu sering
datang meragut ketenangan yang cuba di pupuk hari demi hari. Saya selalu
kecundang. Justeru saya masih belum dapat memaafkan kesalahan yang
telah dilakukan. Kesalahan yang disangka ringan, tetapi rupa-rupanya
mendatangkan rasa bersalah yang tidak pernah berkesudahan hingga ke hari
ini. Ingin saya paparkan peristiwa yang menimpa diri ini untuk tatapan
anda sekalian, untuk dijadikan teladan sepanjang hidup.
Untuk pengetahuan semua..di kalangan sahabat-sahabat dan
saudara-mara,saya dianggap sebagai seorang isteri yang baik. Tetapi
keterlaluan jika dikatakan saya menjadi contoh teladan seorang isteri
bekerja yang begitu taat berbakti kepada suami. Walau bagaimana penat
dan sibuk sekalipun, urusan rumahtangga seperti melayan suami dan
menguruskan anak-anak tidak pernah saya abaikan.Kami dianggap pasangan
romantik. Suami saya seorang lelaki yang amat memahami jiwa saya,
berlemah lembut terhadap keluarga, ringan tulang untuk bersama-sama
menguruskan rumah apabila pulang dari kerja dan lain-lain sifat yang
baik ada pada dirinya.
Waktu sembahyang dan waktu makan merupakan waktu terbaik untuk
mengeratkan ikatan kekeluargaan dengan sembahyang berjemaah dan makan
bersama. Pada waktu inilah biasanya beliau akan memberi tazkirah dan
peringatan kepada kami agar menjadi hamba yang bertakwa. Dari sudut
layanan seorang isteri terhadap suami, saya amat memahami akan kewajipan
yang harus ditunaikan. Itulah peranan asas seorang isteri terhadap
suaminya. Allah menciptakan Hawa semata-mata unutk melayan Adam dan
menghiburkannya. Meskipun syurga dipenuhi dengan kekayaan dan kemewahan,
namun tidak mampu mengisi jiwa Adam yang kosong melainkan dengan
diciptakan Hawa.
Oleh itu saya menganggap tugas mengurus rumahtangga, mengurus anak-anak
dan bekerja di pejabat adalah tugas nombor dua setelah tugas pertama dan
utama, iaitu melayani suami.Sebagai seorang yang juga sibuk di pejabat,
adakalanya rasa penat dan letih menghambat sehingga saya pulang ke
rumah. Tetapi saya bersyukur kerana suami amat memahaminya.Berkat
tolong-menolong dan bertolak-ansur,hal tersebut tidak pernah menjadi
masalah di dalam rumahtangga. Bahkan sebaliknya menumbuhkan rasa kasih
dan sayang antara satu sama lain kerana masing-masing dapat menerimanya
dan mengorbankan kepentingan masing-masing.
Sehinggalah tiba pada satu hari yang mana pada hari itu datangnya
ketentuan Allah yang tidak dapat diubah oleh sesiapa pun. Hari itu
merupakan hari bekerja. Agenda saya di pejabat amat sibuk, bertemu
dengan beberapa orang pelanggan dan menyelesaikan beberapa tugasan yang
perlu disiapkan pada hari itu juga. Pukul lima petang saya bersiap-siap
untuk pulang ke rumah. Penat dan letih tidak dapat digambarkan.Apabila
sampai di rumah, saya lihat suami telah pulang dari pejabat.Dia telah
membersihkan dirinya dan sedang melayani anak-anak, bermain-main dan
bergurau senda. Dia kelihatan sungguh gembira pada pada petang itu. Saya
begitu terhibur melihat telatah mereka, kerana suasana seperti itu
jarang berlaku pada hari bekerja. Maklumlah masing-masing penat.
Suami sedar saya amat penat pada hari itu. Oleh itu dia meminta agar
saya tidak memasak, sebaliknya mencadangkan agar kami makan di sebuah
restoran makanan laut dipinggir bandar. Dengan senang saya dan anak-anak
menyetujuinya. Kami pulang ke rumah agak lewat, kira-kira jam 11 malam.
Apa tidaknya,kami berbual-bual panjang ketika makan, bergurau-senda dan
usik-mengusik.Seperti tiada hari lagi untuk esok. Selain
anak-anak,suami sayalah orang yang kelihatan paling gembira dan paling
banyak modal untuk bercakap pada malam itu. Hampir jam 12 barulah
masing-masing merebahkan badan di katil.
Anak-anak yang kekenyangan segera mengantuk dan lelap. Saya pun hendak
melelapkan mata, tetapi belaian lembut suami mengingatkan saya agar
tidak tidur lagi. Saya cuba menggagahkan diri melayaninya, tetapi hati
saya hanya separuh saja jaga, separuh lagi tidur. Akhirnya saya berkata
kepadanya sebaik dan selembut mungkin, "Abang, Zee terlalu penat," lalu
saya menciumnya dan memberi salam sebagai ucapan terakhir sebelum
tidur.Sebaliknya suami saya terus merangkul tubuh saya. Dia berbisik
kepada saya bahawa itu adalah permintaan terakhirnya. Namun kata-katanya
itu tidak meresap ke dalam hati saya kerana saya telah berada di alam
mimpi. Suami saya perlahan-lahan melepaskan rangkulannya.
Keesokannya di pejabat, perasaan saya agak tidak menentu. Seperti ada
perkara yang tidak selesai. Saya menelefon suami, tetapi tidak berjawab.
Sehinggalah saya dapat panggilan yang tidak dijangka sama sekali -
panggilan dari pihak polis yang menyatakan suami saya terlibat dalam
kemalangan dan dikehendaki datang segera ke hospital. Saya bergegas ke
hospital,tetapi segala-galanya sudah terlambat. Allah lebih menyayangi
suami saya dan saya tidak sempat bertemunya.
Meskipun redha dengan pemergian suami,tetapi perasaan terkilan dan
bersalah tidak dapat dikikis dari hati saya kerana tidak melayaninya
pada malam terakhir kehidupannya didunia ini.Hakikatnya itulah pahala
terakhir untuk saya sebagai seorang isteri. Dan yang lebih saya takuti
sekiranya dia tidak redha terhadap saya pada malam itu,maka saya tidak
berpeluang lagi untuk meminta maaf d aripadanya. Sabda Rasulullah s.a.w,
"Demi Allah yang jiwaku di tangan-Nya,tiada seorang suami yang mengajak
isterinya tidur bersama di tempat tidur,tiba-tiba di tolak oleh
isterinya, maka malaikat yang di langit akan murka kepada isterinya itu,
hingga dimaafkan oleh suaminya."
Sehingga kini,setiap kali saya terkenang kepadanya, air mata saya akan
mengalir ke pipi.Saya akan bermunajat dan mohon keampunan daripada
Allah. Hanya satu cara saya fikirkan untuk menebus kesalahan itu, iaitu
dengan mendidik anak-anak agar menjadi mukmin sejati. Agar pahala amalan
mereka akan mengalir kepada ayah mereka. Hanya itulah khidmat yang
dapat saya berikan sebagai isterinya.
p/s: menyayat hati luahan hati ne kan..kisah ne betul2 memberi
pengajaran kepada para isteri..berkorbanlah sedikit masa kita untuk
suami agar tidak jadi penyesalan di kemudian hari.. 

No comments:
Post a Comment