Saya sempat membaca kisah daripada sebuah buku yang sangat menarik
untuk dikongsi bersama pembaca. Kisah yang tersirat dan penuh makna,
mudah-mudahan menjadi renungan bersama.
Kisah yang diceritakan ini mungkin aneh dan tidak masuk akal, tetapi
tiada yang mustahil di dalam dunia ini dengan kehendak Allah.
Kisahnya mengenai Abu Laits as-Samarqandi, ahli fiqh yang masyhur.
Satu ketika, dia pernah berkata: “Ayahku menceritakan bahawa antara Nabi
yang bukan Rasul, ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang
hanya mendengar suara.
Seorang Nabi yang menerima wahyu melalui
mimpi pada satu malam, diperintahkan dengan mimpi yang menyatakan: “Esok
engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat.
“Engkau dikehendaki berbuat, pertama; apa yang engkau lihat maka
makanlah, kedua; engkau sembunyikan, ketiga; engkau terimalah, keempat;
jangan engkau putuskan harapan, yang kelima; larilah engkau
daripadanya.”
Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju
ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar
berwarna hitam.
Nabi itu kebingungan sambil berkata: “Aku
diperintahkan memakan pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang
mustahil yang tidak dapat dilaksanakan.”
Maka Nabi itu terus
berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia
menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi
sebesar buku roti.
Nabi itu mengambilnya lalu disuapkan ke
mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun
mengucapkan ‘Alhamdulillah’.
Kemudian Nabi itu meneruskan
perjalanannya lalu bertemu pula sebuah mangkuk emas. Dia teringat arahan
mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu menggali sebuah lubang
lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya.
Tiba-tiba
mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu menanamnya semula sehingga
tiga kali berturut-turut. Selepas tiga kali, berkatalah Nabi itu: “Aku
sudah melaksanakan perintah-Mu.”
Lantas dia meneruskan perjalanannya dan tanpa disedarinya, mangkuk emas itu tetap terkeluar semula dari tempat ia ditanam.
Ketika
berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang mengejar seekor
burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata: “Wahai
Nabi Allah, tolonglah aku.”
Mendengar rayuan burung itu, hatinya
berasa simpati lalu memasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan keadaan itu,
lantas burung helang itu datang menghampiri Nabi itu sambil berkata:
“Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak
pagi tadi. Oleh itu, janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku.”
Nabi
itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak
boleh memutuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan
perkara itu.
Akhirnya, dia membuat keputusan mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pahanya dan diberi kepada helang itu.
Setelah
mendapat daging itu, helang itu terbang dan burung kecil tadi
dilepaskan dari dalam bajunya. Selepas kejadian itu, Nabi berkenaan
meneruskan perjalanannya.
Tidak lama kemudian dia bertemu pula
satu bangkai yang sangat busuk baunya, dia pun bergegas lari dari situ
kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya.
Setelah
menemui kelima-lima peristiwa itu, kembalilah Nabi itu ke rumahnya.
Pada malam itu, Nabi berdoa. Dalam doanya dia berkata: “Ya Allah, aku
sudah melaksanakan perintah-Mu sebagaimana diberitahu dalam mimpiku,
maka jelaskan kepadaku erti semua ini.”
Dalam mimpi, beliau
diberitahu oleh Allah bahawasanya: “Yang pertama engkau makan itu ialah
marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukit, tetapi akhirnya jika
bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, marah akan menjadi lebih
manis daripada madu.
“Kedua, semua amal kebaikan (budi), walaupun
disembunyikan, ia tetap akan nampak juga. Ketiga, jika menerima amanah
seseorang, jangan kamu khianat kepadanya.
Keempat, jika seseorang meminta kepadamu, usahakan untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat.
Kelima,
bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka
larilah dari orang-orang yang duduk berkumpul membuat ghibah.”
Kelima-lima
kisah ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita berikutan lima
perkara ini sentiasa berlaku dalam kehidupan seharian, terutama dalam
soal memperkatakan hal orang lain.
Maka, pada bulan yang mulia
ini, mari kita sama-sama ubah sikap. Ramadan diciptakan Allah dengan
janji pahala berlipat ganda berbanding bulan biasa.
Jangan kerana sikap kita itu tadi, pahala yang ingin dikejar dalam beribadah hilang begitu saja dan menjadi sia-sia.
No comments:
Post a Comment