Islam adalah agama yang memelihara
keharmonian dan kedamaian segenap aspek kehidupan. Cara hidup islam,
andai berusaha diamalkan secara benar dan sempurna, memberi kebahagiaan
kepada manusia secara peribadi ataupun kehidupan bermasyarakat... Setuju
tak dengan mukadimmah saya ni :)
Indahnya islam.. setiap anggota
tubuh yang dianugerah ALLAH ini ada sistem yang perlu diikuti, jika
tidak, akan kucar kacir kehidupan kita dan orang lain. Sepasang mata
yang dikurniakan itu tidak boleh melihat sebarangan, sepasang bibir itu
juga tidak boleh mengungkap kata sewenang-wenang. Kerana kelak semuanya
akan diminta pertanggungjawaban.
..Ya, sekali lagi ingin saya
berkongsi tentang bicara dan komunikasi. Mudah-mudahan topik bicara ini
mengingatkan dan memotivasi diri ini dan kalian untuk memuhasabah nikmat
bertutur dan terus menyuburkan akhlak mulia.
“Perbanyakkanlah hal yang menyebabkan kalian masuk syurga, iaitu taqwa kepada ALLAH dan akhlak yang mulia.” (Riwayat Tirmidzi)
Saudaraku, kata-kata mempunyai dua sisi. Sisi positif dan sisi negatif.
Kata-kata boleh melukakan jiwa.
Kata-kata juga boleh menyembuhkan jiwa.
Ada amaran yang disampaikan Baginda SAW buat umat yang dikasihi berkaitan isu berkata-kata.
Sabda Rasul SAW: “…Jagalah yang ini – lidah…”
“Wahai nabi ALLAH, apakah kita akan diseksa dengan apa yang kita ucapkan…?” tanya Mu’az bin jabal.
“Manusia masuk neraka tidak lain kerana apa yang diucapkan oleh lidah-lidah mereka…”
(Riwayat Tirmidzi)
Ayuh saudaraku, lidah ini, kita
gunakan untuk meraih pahala dan membina cinta sesama manusia.
Bagaimanakah untuk menggunakan lidah ke arah kebaikan…?
Pertama, kita renungkan ajaran Rasul SAW bahawa, “…Ucapan yang baik adalah sedekah…” (Riwayat Bukhari)
Carilah ruang dan kesempatan
untuk memberi nasihat yang diperlukan. Dalam masa yang sama, berusahalah
menyampaikan nasihat itu dengan cara yang dimahukan.
Budayakan memuji dan memotivasi
dalam bicara, namun bukan memuji untuk buat orang perasan. Untuk
membimbing dan mengubah manusia ke arah kebaikan, cara yang dikenal
pasti paling ampuh adalah dengan memotivasi dan memuji. Gunakan lidah
untuk mencari sifat-sifat positif insan lain, mudah-mudahan akan
terdorong hatinya meninggalkan keburukan.
“Adik, adik seorang yang suka
membantu orang, adik peramah dan pandai bergaul, adalah lebih baik kalau
adik juga menjaga hubungan dengan ALLAH. Adik solat penuh lima waktu,
adik menjaga aurat seorang muslimah.. bila adik jaga syariat ALLAH ini,
tuhan akan makin menyayangi orang macam adik…” moga nasihat ini
memotivasi dan bermanfaat.
Nikmat berbicara itu juga,
halakanlah ia ke arah menyatakan penghargaan dan terima kasih. Ucapan
terima kasih juga adalah tanda kesyukuran kita pada kebaikan yang
dilakukan oleh orang lain.
“Terima kasih ukhti, mengingatkan diri ini dengan kelalaian-kelalaian ana..” sentiasalah berterimakasih.
“Barangsiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia, dia tidak mensyukuri Allah”. (Hadith riwayat Ahmad dan At-Tirmizi)
Alangkah baiknya juga seulas
lidah, bila mampu menolak ucapan yang buruk dengan kebaikan atau dengan
sesuatu yang lebih baik ( rujuk Al-Mukminun: 96). Berlembutlah selalu..
Ada dikisahkan bahawa Rasul SAW
menegur kata-kata kasar yang diungkap Aisyah RA, meskipun kata-kata itu
tertuju pada orang kafir… Tegur Baginda SAW:
“Tenanglah wahai Aisyah, sesungguhnya ALLAH menyukai kelembutan dalam segala sesuatu” (Riwayat Bukhari)
“Wahai Aisyah, hendaklah engkau bersikap lembut, jauhilah sikap kasar dan keji…” (Riwayat Bukhari)
Dengan islam juga, diamnya sepotong lidah itu juga adalah tanda keimanan.
“Barangsiapa yang beriman kepada ALLAH dan hari Akhirat, berkatalah yang baik, atau diam...” (Riwayat Bukhari)
Diam mendapat pahala, kita
tambahkan pula dengan senyuman untuk pahala berganda – berwajah manis
pada saudara bukan kah termasuk dalam amal soleh?
Yang terlebih penting, lidah
milik para penyampai ilmu – guru, ibu ayah, pemimpin, daie, murobbi, dan
sesiapa yang menyebut tentang ALLAH dan Rasul SAW, berhati-hatilah
menyebut sesuatu yang tidak diketahui secara pasti.
Menyebut sesuatu dan
menyandarkannya kepada ALLAH dan Rasul sesuatu yang salah, adalah
berbohong atas nama ALLAH dan Rasul. Neraka lah tempatnya kelak, pesan
Nabi.
Seterusnya, jauhi bencana lidah yang
sering berlaku ini, iaitu jangan sesekali membuka aib orang lain
–contohnya mengulas tentang masalah rumahtangga atau perceraian orang.
Menyebarkan cerita-cerita buruk seseorang hanya dengan mendengar dari
orang lain. Kecuali benar-benar untuk mencari penyelesaian, maka
keaiban dibuka pada orang-orang yang amanah lagi berilmu.
“…Barangsiapa
yang menutupi aib saudaranya yang muslim, maka ALLAH akan menutupi
aibnya di dunia dan akhirat...” (Riwayat Muslim)
Berwaspada juga dengan ghibah
dan namimah (mengumpat dan mengadu domba). Ia adalah senjata syaitan
yang ampuh untuk memecahbelahkan persaudaraan dan persahabatan.
Berkumpul di rumah kenduri,
mengumpat saudara- mara. Berkumpul bersama teman-teman, mengumpat teman
lain yang tak disukai. Mengumpat pensyarah, atau guru-guru. Mengumpat
boss.
Di tempat kerja, kawan-kawan
sekerja menjadi bahan cerita sisi negatif. Ada di antara mereka yang
mendengar pula, menyampaikan kepada orang yang diumpat. Itulah yang
dinamakan mengadu domba. Hingga akhirnya prasangka buruk mendapat ruang
untuk berkembang subur.
Di facebook pula, ada bicara tanpa suara. Maka jagalah adabnya seperti berbicara di alam nyata.
…dasyatnya bencana lidah, jika
tidak dikawal oleh ilmu dan iman. Indahnya ungkapan bahasa, jika yang
mengungkapnya meletakkan akhirat sebagai neraca.
Justeru saudara-saudaraku…, ayuh
berusaha mencari pahala dengan ucapan. Kita sama-sama menahan lidah
untuk berbicara yang tidak perlu apatah lagi yang sia-sia dan berdosa.
Kurangkan perkataan, lebihkan senyuman. Moga cinta terbina semula, moga
perselisihan harmoni akhirnya..
No comments:
Post a Comment