Jika ditanya persediaan untuk kenduri
perkahwinan saya, tidak ada apa-apa yang ‘menarik’ untuk dikongsi. Namun
sempena musim pernikahan di cuti sekolah akan datang, saya coretkan
juga sedikit pengalaman sendiri tentang kenduri kahwin lebih dua tahun
yang lalu.
Saya tidak ada ‘majlis
perkahwinan impian’, dengan konsep sebegitu atau sebegini, saya tidak
ada lakaran baju pengantin seperti rata-rata bakal pengantin yang
membelek-belek majalah melihat design baju pengantin yang diminati.
Saya hanya ada rumahtangga
impian, maka saya tidak window shopping ke sana ke mari untuk memilih
perhiasan dan keperluan majlis perkahwinan, sebaliknya saya ke sana ke
mari bertemu insan-insan berilmu yang sudah berumahtangga, memohon
nasihat dan pandangan untuk saya membina syurga rumahtangga kelak.. [dan
kini setelah dua tahun bernikah, rupanya proses mencipta syurga
rumahtangga ini sangat-sangat mencabar, berterusan ke akhir perjalanan
kehidupan].
Setelah menyerahkan wang
hantaran dari pihak lelaki kepada ayah saya, mak dan abah membuat
persiapan untuk kenduri anak perempuannya yang pertama ini. Saya tidak
mahu menyusahkan mereka, namun mak dan abah bersungguh-sungguh, seperti
mana ibu bapa yang lain penat lelah membantu mengatur majlis perkahwinan
anak mereka.
Beberapa kali saya pesan pada mak abah, “Mak ngan abah buat yang mana mudah je ya…”
Terima kasih sangat-sangat pada
mak abah dan adik beradik yang bertungkus lumus melancarkan urusan
walimah ini. Kakak ipar saya, abang-abang saya, adik-adik saya,
anak-anak buah saya… saya hargai penat lelah mereka berkemas :D
Bila hari kenduri makin dekat,
memandangkan mak bertanya tentang pakaian yang akan saya pakai untuk
majilis walimah itu, saya pun mula berfikir-fikir tentangnya.
Haa.. saya teringat baju nikah
yang makcik saya pakai sejam dua sewaktu majlis pernikahannya.
Alhamdulillah setelah menghubungi makcik saya yang baik itu, saya dapat
meminjam baju nikahnya itu untuk saya pakai sewaktu kenduri kahwin saya.
“Ohh pinjam je…?” orang bertanya.
“Tak apa… saya tak kisah.. Saya
gembira saya dah nikah, dan saya raikan saja kenduri kahwin ni sebagai
wasilah nak umumkan pada orang kampung bahawa kita dah bernikah…” ini
hanya jawapan dalam hati. Wajah tersenyum yang menjawabnya.
Tudung macam
mana?…Perhiasan-perhiasan lainnnya..? Ok, satu hari saya jalan-jalan di
Plaza Shah Alam, saya terjumpa dan beli tudung berharga lebih kurang
RM10 , warna yang sepadan dengan baju nikah yang saya pinjam.
Di pekan Kuala Pilah, Negeri
Sembilan saya membeli sehelai selendang jarang warna silver
berkilat-kilat untuk disesuaikan dengan tudung… ( saya rasa tak perlu
pun selendang tu, tapi saya raikanlah keinginan mereka yang nak
pengantin nampak lain sikit..ok, takpe, selendang tu RM8 je)
Baju, tudung, selendang dah
ada…Kasut? Alhamdulillah di Ole-Ole Shah Alam, Seksyen 18, saya jumpa
sepasang kasut yang bagi saya nampak lah cantik sikit macam kasut
pengantin, tapi saya tahu ia hanya akan dipakai beberapa jam sahaja
sewaktu kenduri kahwin nanti, maka saya lapang hati mengeluarkan RM19.90
untuk membeli kasut itu.
Semakin menghampiri tarikh
walimah, seperti biasa, orang-orang suka bertanya tentang pelamin,
hiasan bilik pengantin, mak andam..
Pakej Perkahwinan Istana Impian RM3500++
Pakej Perkahwinan Mahligai Cinta RM2900++
Pakej Serambi Kasih RM1700++
Hmm inilah antara harga pakej perkahwinan tahun 2011 kan..?
Mungkin ada yang faham bagaimana
tak seronoknya bila kita diminta buat dan beli begitu begini sedangkan
kita ingin meminimakan bajet dan yang lebih penting, supaya majlis itu
sederhana tanpa pembaziran. […dan mungkin juga ada yang tak faham,
kenapa tak nak buat ‘elok-elok’ ..hee…]
Saya menggaru kepala bila makcik-makcik bersungguh mencadangkan untuk tempah semua itu dan saya terpaksa bagi jawapan standard..
“hai…suami pilot...takpelah kuar duit lebih sikit…” ujar orang itu.
“hmm takpelah.. kami tak nak..” ( dengan nada yang paling baik dan wajah yang cuba disenyumkan…hee..).
Kalau saya jawab, “saya yang tak nak”, nanti mereka mengangkat keluar hujah-hujah yang tak mampu saya jawab :P
Majlis walimah saya dilangsungkan
setelah lebih kurang tiga bulan saya bernikah. Jadi dengan adanya suami,
adakalanya saya terpaksa gunakan nama suami, ‘kuasa veto’ suami untuk
menghentikan keinginan orang lain yang nak kita habiskan duit untuk
kenduri kahwin sehari…
Dan 15 Mac 2009, berlangsunglah
majlis perkahwinan saya di rumah ibu bapa saya, nun di pinggir hutan di
sebuah kampung di Kuala Pilah. Minta maaf ya sahabat handai yang sesat
untuk ke kampung permai saya..
Alhamdulillah saya berpuas hati
tidak terlalu banyak duit yang kami habiskan semata-mata untuk majlis
perkahwinan, saya gembira saya tidak berperasaan untuk segala bentuk
pelamin, andaman, hiasan yang dengannya saya juga tidak menyusahkan
perasaan suami yang menyediakan semua sumber kewangan.
Saya meminjam beberapa perhiasan
perkahwinan dari ibu saudara, tapi ada juga yang saya beli..dan
kemudiaannya saya pinjamkan pula pada orang lain.
Dengan gaji suami saya seorang
pemandu, boleh saja bermewah-mewah untuk majlis perkahwinan puluhan
ribu, tapi tergamakkan hati menghabiskan duit untuk keinginan dan impian
peribadi sewaktu ada insan-insan yang daif sukar mendapat sesuap nasi…?
Mungkin sedikit pengajaran yang boleh dikongsikan ialah:
Berjimatlah agar tidak terlalu banyak duit dileburkan untuk majlis perkahwinan kita..
Jangan kerana kenduri sehari,
berbulan-bulan sebelum itu kita dah stress dengan duit yang tak
cukup-cukup, dan malah bertahun-tahun selepas itu, kita stress dengan
puluhan ribu yang kita dah habiskan untuk sehari kenduri kahwin,
sedangkan kita sangat perlukan duit itu untuk memulakan kehidupan baru
bersama pasangan dan anak-anak yang bakal dikurniakan.
“Kahwin hanya sekali, apa
salahnya berhabis sikit” ..slogan ini tidak benar, tiada siapa menjamin
yang kita tidak akan berkahwin lagi. Dan seandainya hanya itulah
perkahwinan kita, maka sebab itulah kita buat yang terbaik, berusaha
menepati majlis perkahwinan yang sesuai dengan syariat islam yang penuh
kesederhanaan.
Yang paling penting, jangan
kerana majlis perkahwinan, kita dah bergaduh dengan pasangan kerana
keinginan kita seorang perempuan untuk lapan pasang baju untuk sesi
bergambar, untuk pelamin dan hiasan bilik pengantin yang canggih menelan
belanja yang banyak, untuk juruandam yang berkualiti, untuk album
gambar kahwin – yang pakej-pakej ini menambahkan ribuan jumlah hutang
kita dan pasangan. Kesian bakal suami…tapi hanya dipendamkan, nanti
pengantin perempuan merajuk panjang.
Setelah selesai majlis
perkahwinan, kita tergolek kepenatan, duit juga telah habis dalam
simpanan, dan selepas itu kita meneruskan hidup dengan keserabutan untuk
membayar hutang dan untuk ‘cover’ balik segala perbelanjaan pernikahan
dan perkahwinan...
Apakah kita ingin kebahagiaan rumahtangga yang kita harapkan itu dimulakan dengan hutang dan tekanan menyelesaikan hutang…?
Ya, dengan segala kos barangan
yang makin naik, mungkin kita dah terlanjur mengadakan majlis
perkahwinan yang gilang gemilang (baca:mahal) dengan berhutang dan kita
tidak mahu perkara yang sama berlaku pada adik-adik kita, anak-anak kita
… jadi apa cadangan untuk merendahkan kos perkahwinan..?
Sama-sama kita fikirkan cara yang praktikal …insyaALLAH nanti kita sambung bincangkan tentang ini..
Penting juga untuk kita
bincangkan baik-baik dengan mak ayah sebelum mendekati tarikh majlis
perkahwinan, bahawa kita tak mahu spend duit yang banyak, sebab kita
sangat memerlukan duit itu untuk keperluan rumahtangga kelak. Elakkan
suasana gaduh, sebaliknya bersabar dan bertenang bertahan dalam
menjelaskan.. Ini tidak mudah, kerana rata-rata ibu bapa dan adik
beradik mahukan kita ‘buat kenduri macam orang lain’.
Komunikasikan dengan tuhan
setulusnya sewaktu manusia tidak menyokong untuk kita ‘memurahkan
kenduri kahwin’ dan tabahkan hati dengan kata-kata dan sindiran yang
sememangnya kita tidak ada kuasa menghentikan, melainkan orang-orang itu
sendiri yang akan berhenti bercakap bila penat.
Alangkah bagusnya nanti selepas
bernikah, bila si isteri ingin membeli keperluan-keperluan baru untuk
rumah yang telah didiami bersama suami tercinta, si isteri punya duit
simpanan untuk membeli sendiri tanpa meminta-minta dari suami..
“Abang.. alhamdulillah dulu tak
ambil pakej fotografi yang seribu lebih. Dan kita buat kenduri di
kampung yang murah dengan gotong royong masak.. Kalau catering, banyak
juga duit yang kita perlu keluarkan.. Sekarang duit tu kita dapat beli
tumble dryer, senang nak uruskan pakaian kan.. kita ada banyak masa
untuk spend berdua”
Cerita elok-elok pada mak, duit
ribu-ribu yang kita kumpulkan dengan tekanan dan penat lelah, adalah
supaya kita mulakan hidup dengan agak selesa dan baik.. Peti sejuk,
mesin basuh, oven dan lain-lain peralatan yang memudahkan kita yang
sememangnya sibuk dengan dunia kerjaya..
Lepas kahwin, kita perlu banyak
duit untuk berziarah atau berkenalan dengan saudara mara, atau bercuti
ke pulau impian menikmati cinta halal..
Hati tenang memulakan cinta di
alam pernikahan, bila duit itu kita salurkan pada tempat yang lebih
prioriti. Suami tenang jika isteri mengerti betapa besarnya
tanggungjawab suami menyediakan kewangan untuk keluarga yang baru
dibina..
Pada diri yang mampu dan senang,
silakan berkenduri mengikut impian peribadi, namun jangan berlebihan.
Bersyukurlah dengan kesenangan yang dimiliki oleh anda dan famili…
Pada hati yang sedang tak tenang dan kegusaran tentang majlis pernikahan yang mendatang, ayuh renungkan ayat Allah..
“…Mohonlah ampun (istighfar) kepada Robbmu. Sesungguhnya dia adalah Maha Pengampun. Nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan memperbanyak harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untuknya kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai." (QS. Nuh:10-12)
Beristighfarlah, kenali dan akui kesalahan diri kita insan yang lemah ini di hadapan ALLAH..
Moga dengan hati kita yang selalu istighfar, kusyuk mengharap ampunan Allah, Allah akan menambah harta dan melimpahkan rezeki lainnya..
Hingga akhirnya kita tenang mencipta syurga rumahtangga..
“Di antara tanda-tanda kekuasaanNya adalah Dia menciptakan untukmu pasangan dari jenismu sendiri, sehingga kamu merasa tenteram (sakinah) dengannya, dan dijadikanNya diantara kalian rasa cinta dan kasih sayang (mawaddah wa rahmah). Dan di dalam itu semua terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir”.
(Ar-Ruum:21).
(Ar-Ruum:21).
No comments:
Post a Comment