Lebih teruk, saya mungkin dianggap suami dayus ataupun bodoh walaupun ‘saya tidaklah bodoh sangat!’
Rumah tangga kami sudah pasti teramat
membosankan. Itulah yang saya percaya dan saya percaya, itulah juga yang
dipercayai ramai orang!
Walaupun ketika berkonflik, semua orang
akan mempersoal malah menyesal kerana menganggap pasangannya adalah yang
paling teruk di dunia, namun percayalah, dia pasti akan lebih menyesal
jika mendapati pasangannya itu adalah manusia yang hanya tahu senyum dan
mengangguk sepanjang masa!
Saya teringat untuk menulis hal ini
semalam apabila isteri minta tengok laporan akhbar mengenai satu kajian
bahawa suami isteri perlu bergaduh sekurang-kurangnya sekali seminggu.
Menurut laporan itu, tinjauan Lembaga
Penyelidikan Pemasaran India (IMRB) mendapati pasangan yang bertengkar
sekali dalam seminggu dianggap masih boleh berkomunikasi secara terbuka
dan tidak hanya mendiamkan diri ketika marah.
Ini menunjukkan pertengkaran membantu
merapatkan hubungan suami isteri dan memulihkan salah faham. Justeru, ia
amat penting dalam rumah tangga.
Daripada pengalaman, kenyataan itu memang tidak ragu-ragu untuk saya akui.
Pertengkaran selagi masih dalam
lingkaran kasih sayang dan pertanggungjawaban, bagi saya adalah suatu
ekspresi kesungguhan. Syaratnya, jangan sampai ada maki hamun atau sepak
terajang yang boleh membuat pasangan trauma atau berasa terhina!
Kadang kala pertengkaran juga membuat kita lebih memahami pasangan.
Hayati bait lirik lagu Tan Sri P Ramlee:
Sedangkan lidah lagi tergigit
apa pula suami isteri
buang yang keruh, ambil yang jernih
barulah teguh peribadi …
apa pula suami isteri
buang yang keruh, ambil yang jernih
barulah teguh peribadi …
Ya, lama dulu kita sudah disedarkan
bahawa konflik suami isteri ada hikmahnya untuk lebih bahagia. Ini untuk
kita insaf i bahawa kita tidak boleh hidup dalam hanya satu atau dua
warna.
Dalam buku Aduhai Isteri halaman 53-56,
saya menulis bahawa ketika berkonflik, suami isteri harus sentiasa
sedar dan ingat mengenai hakikat cinta dan kasih sayang sesama mereka
selain menanam teguh dalam hati bahawa konflik bukan semata-mata mahu
cari pasal untukbergaduh dan pasangan pula bukan musuh.
Akhirnya kita akan mendapati bahawa
pertengkaran dalam hubungan suami isteri sebenarnya adalah sangat indah,
pergaduhan boleh bawa hikmah. Syaratnya seperti yang saya nyatakan
tadi, jangan ada maki hamun atau sepak terajang apa lagi menyebut
sesuatu yang tidak seharusnya – berpisah!
Mengapa saya kata hal yang bagi sesetengah orang adalah sangat tidak elok itu sebagai hikmah, atau sesuatu yang indah?
Bayangkan sahaja begini, setelah puas
bertengkar, melepas habis apa yang terbuku di hati, kita lazimnya akan
sedar, insaf bahawa orang yang kita sudah kata macam-macam itu
sebenarnya adalah insan yang paling kita sayang, orang yang selama ini
menjaga kita, orang yang selama ini jadi teman kita di kala susah dan
senang, orang yang sudah terlalu banyak jasanya kepada kita, berkorban
untuk kita dan bagi suami, insan itulah juga yang bersabung nyawa
melahirkan zuriat kita!
Apakah dalam keinsafan yang seperti itu masih tega lagi dalam hatimu wahai kawan untuk terus membencinya?
Sudah pasti tidak melainkan jika kamu benar-benar berhati syaitan!
Justeru, ketika itulah saya percaya
bahawa hati kita yang sebenarnya sudah siap ditanam dengan kasih sayang
yang sejati akan diselubungi sepenuhnya oleh kekesalan yang amat sangat.
Ada baiknya dalam keadaan seperti itu,
biarlah sama-sama menangis, mengulang sebut pengakuan bersalah,
memuji-muji pasangan sebagai manifestasi penyesalan.
Dan percayalah juga bahawa dalam keadaan
itu, hati manusia mana sekalipun pasti akan sanggup untuk membuat
penyerahan diri yang total kepada pasangannya, zahir dan batin dengan
sepenuh kasih sayang.
Sebagai suami isteri ataupun insan yang
sudah dewasa, kita masing-masing tentunya amat memahami apa yang
seharusnya berlaku selepas itu. Sebab itulah juga saya ‘menegur’ isteri
saya apabila dia ‘tagged’ laporan akhbar itu dalam ‘wall’ Facebook saya
dengan kata-kata “jom gaduh…”
Ya, saya segan walaupun dia semata-mata ajak saya bergaduh dan saya sendiri pun sememangnya suka bergaduh!
No comments:
Post a Comment